Info Jabatan

1.PENGENALAN
Setiap Politeknik di bawah Kementerian Pengajian Tinggi adalah bertanggungjawab memberi panduan mengenai pembelajaran, penilaian, pengawalan dan perjalanan peperiksaan. Penganugerahan Sijil dan Diploma kepada pelajar masing-masing adalah tertakluk kepada kelulusan dan pengesahan Lembaga Peperiksaan dan Penganugerahan Sijil/Diploma Politeknik setelah pelajar lulus semua peperiksaan serta memenuhi semua kehendak kursus. Bagi sesebuah politeknik, Unit Peperiksaan adalah unit yang dipertanggungjawabkan untuk merancang, mengurus dan melaksanakan segala aktiviti yang berkaitan dengan penilaian pelajar berpandukan kepada garis panduan dan peraturan penilaian yang telah ditetapkan.

Unit Peperiksaan merupakan suatu pusat yang bertanggungjawab untuk melaksanakan segala urusan dan aktiviti peperiksaan.  Unit ini diketuai oleh Pegawai Peperiksaan dan dibantu oleh Penyelaras Peperiksaan Jabatan Akademik.

2.SISTEM NILAI MATA
Sistem penilaian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi adalah berdasarkan kaedah penilaian kuantitatif prestasi pelajar di dalam sesuatu program yang dikenali sebagai Sistem Nilaian Mata (SNM). Mengikut sistem tersebut, prestasi pelajar bagi sesuatu kursus adalah berdasarkan kepada Sistem Gred yang mana pencapaian pelajar dinilai menggunakan dua (2) ukuran iaitu:

i.  Purata Nilaian Mata (PNM) atau Grade Point Average (GPA)
ii.  Himpunan Purata Nilaian Mata (HPNM) atau Cumulative Grade Point Average (CGPA)

Semua kursus akan dinilai secara berterusan sebelum Peperiksaan Akhir Semester bermula. Modul Am dan modul-modul yang tidak melibatkan Peperiksaan Akhir akan dinilai secara 100% Penilaian Berterusan. Modul yang melibatkan Peperiksaan Akhir akan dinilai berdasarkan  Penilaian Berterusan (PB) dan  Peperiksaan Akhir (PA). 

3.PERATURAN AM KAEDAH PENILAIAN
Pelajar hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut sebelum layak untuk dinilai prestasi akademiknya:

• telah mendaftar pengajian; 
• telah mendaftar kursus berkenaan; dan 
• telah mencapai tahap kehadiran 80% seperti yang ditetapkan bagi aktiviti pembelajaran yang diwajibkan bagi sesuatu kursus.

4.PENENTUAN JUMLAH JAM KREDIT
Jumlah jam kredit yang perlu diambil oleh Pelajar bagi sesuatu semester adalah di antara 12 hingga 18. Pendaftaran atau pengambilan Jumlah Jam Kredit yang kurang atau melebihi daripada yang ditetapkan perlu mendapat sokongan Penasihat Akademik dan kelulusan Ketua Jabatan. 
Pelajar hendaklah mencukupkan jumlah jam kredit minimum bagi setiap semester dengan mengambil kursus-kursus elektif yang ditawarkan pada semester berkenaan atau kursus-kursus lain dengan kebenaran Ketua Jabatan.

5.MENDAFTAR KURSUS
Pendaftaran kursus akan dilaksanakan pada setiap awal semester dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh rasmi sesi pengajian bermula. Pelajar perlu mendapat nasihat daripada Penasihat Akademik dan juga pengesahan Ketua Jabatan masing-masing sebelum mendaftar.

Pelajar juga perlu mendaftar kursus ulangan terlebih dahulu pada semester semasa sekiranya kursus itu ditawarkan, kecuali pada keadaan-keadaan yang tidak memungkinkan pelajar berbuat demikian dan mendapat kelulusan Ketua Jabatan akademik.  Pelajar juga perlu mencukupkan jumlah jam kredit yang dibenarkan dengan menambah kursus-kursus lain yang ditawarkan pada semester semasa.

Jika pelajar gagal mendaftar kursus ulangan atau kursus yang mesti diambil pada semester berkenaan:

i.  Pelajar akan diberi Gred F dengan Nilai Mata 0.00 bagi kursus berkenaan; dan
ii.  Pelajar dikira telah mengambil dan gagal kursus berkenaan.

6.MENGULANG KURSUS
Mengulang Kursus adalah keadaan dimana pelajar dikehendaki mengambil semula kursus yang gagal pada semester sebelumnya.  Pelejar semester akhir yang gagal dua (2) atau lebih kursus pada semester sebelumnya dikehendaki mengulang kursus yang gagal pada semester semasa setelah mendapat pengesahan daripada Lembaga Peperiksaan.  Selain itu, pelajar yang mengulang kursus hendaklah mengikuti semula aktiviti-aktiviti pembelajaran bagi kursus-kursus berkenaan sepenuhnya.

7.PINDAHAN KREDIT
Pindahan Kredit bagi mana-mana kursus adalah tertakluk kepada syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan. Pelajar boleh memohon kelulusan Pindahan Kredit bagi mana-mana kursus daripada Ketua Jabatan masing-masing. Jam Kredit yang diperolehi bagi kursus yang berjaya mendapat pindahan kredit tidak akan diambil kira dalam pengiraan HPNM. Jumlah jam kredit bagi kursus tersebut hanya diambil kira bagi menentukan Jumlah Jam Kredit Terkumpul untuk tujuan penamatan kursus.

8.MENERUSKAN PENGAJIAN KE SEMESTER BERIKUTNYA
Pelajar yang mendapat keputusan Kedudukan Baik (KB) dan Kedudukan Bersyarat (KS) adalah layak meneruskan pengajian ke semester berikutnya.

9.KATEGORI KEPUTUSAN PEPERIKSAAN
Keputusan Peperiksaan bagi setiap semester akan dikategorikan kepada :

  1. Kedudukan Lulus Penuh (LP)- Pelajar semester akhir yang memperolehi HPNM bersamaan atau lebih daripada 2.00 dan memenuhi syarat serta layak dianugerahkan sijil/diploma.
  2. Kedudukan Baik (KB)-Pelajar mendapat HPNM bersamaan atau lebih 2.00.
  3. Kedudukan Bersyarat (KS)- Pelajar mendapat HPNM bersamaan atau lebih 1.60 dan kurang daripada 2.0.
  4. Gagal Berhenti (GB)- Pelajar mendapat HPNM kurang daripada 1.60  ATAU Pelajar mendapat PNM kurang daripada 1.00 ATAU beberapa keadaan lain yang melayakkannya untuk GB.

10.TEMPOH PENGAJIAN
Tempoh pengajian bagi sesuatu kursus adalah seperti berikut : 

  1. Diploma (minimum 5 semester - maksimum 9 semester )

11.PENGANUGERAHAN SIJIL / DIPLOMA
Pelajar adalah layak dianugerahkan Sijil/Diploma setelah :

  • lulus semua kursus yang disyaratkan;
  • memperolehi sepenuhnya jumlah jam kredit yang ditetapkan;
  • telah menamatkan Latihan Industri dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan berhubung dengannya; dan
  • memenuhi semua kehendak program dan diperakui oleh Lembaga Peperiksaan.

Carta Organisasi

Dalam proses kemaskini .. Harap maklum